
Sesungguhnya Allah dan malaikat-malaikat-Nya bershalawat untuk Nabi. Hai orang-orang yang beriman, bershalawatlah kamu untuk Nabi dan ucapkanlah salam penghormatan kepadanya.* (al-Ahzab:56)
Al-Quran yang menjadi panduan umat Islam, di dalamnya Allah swt mengajarkan kepada kita tentang keagungan dan kemuliaan Nabi Muhammad saw. Ini terbukti di dalam surah al-Ahzab ayat 56 yang mana Allah swt dan para malaikatNya terus menerus [Baca: Dulu, kini dan selamanya kerana dalam kaedah bahasa arab “yusolluna” itu fiil mudhari’ yang membawa maksud selamanya non-stop] menyampaikan selawat kepada nabi Muhammad saw dan orang-orang beriman juga diperintahkan untuk menyampaikan selawat dan salam kepada baginda saw.
Ketika Allah swt memerintahkan kita untuk mendirikan solat, Allah sendiri tidak melakukan solat. Ketika Dia menyuruh kita berpuasa di bulan Ramadhan seperti yang kita sedang lakukan di saat ini, Dia sendiri tidak melakukan ibadah tersebut. Bahkan kesemua ibadah yang disuruh oleh Allah di dalam al-Quran, Allah tidak melakukannya sama ada dalam soal melaksanakan haji, mengeluarkan zakat atau ibadah-ibadah yang lain. Tetapi ketika mana Allah swt memerintahkan kita untuk berselawat kepada nabi Muhammad saw, Dia dengan terlebih dahulu lagi bersama para malaikatNya berselawat kepada nabi. Dialah perintis, pelopor dan sekaligus komandan dalam hal berselawat ini.
Sebenarnya, apakah Rasulullah saw memerlukan selawat kita ketika mana Allah swt dan para malaikat sudah pun melakukannya? Bukankah beliau manusia sempurna, dan sudah dijamin keselamatannya malah dosa-dosanya juga telah diampuni? Apakah masih belum mencukupi selawat yang disampaikan oleh Allah dan para malaikat sehingga memerlukan selawat daripada kita? Nah, bukankah ini menghairankan. Saya ingin memetik kata-kata imam Fakhr Al-Razi di dalam sebuah buku yang pernah saya baca iaitu Keajaiban Selawat, beliau menjawab “Selawat ke atas Nabi itu bukan kerana beliau memerlukannya, bahkan selawat para malaikat pun tidak beliau perlukan setelah ada selawat Allah kepadanya. Namun, semua itu untuk menunjukkan kebesaran dan keagungan Nabi saw, sebagaimana Allah menyuruh kita berzikir menyebut namaNya, padahal pasti Dia tidak memerlukan semua itu.” Malah semua ibadah yang kita lakukan, manfaatnya bukanlah untuk Allah dan rasul tetapi adalah untuk manusia kerana kita yang serba kekurangan dan kelemahan ini yang sebenarnya memerlukan kebaikan dan manfaat tersebut.
Sebagaimana Allah swt telah memuliakan Nabi Adam as dengan menyuruh para malaikat dan jin untuk sujud kepada baginda as, begitu juga Allah swt telah memuliakan Nabi Muhammad saw dengan hal berselawat. Bahkan Saidina Ali ra yang dikenali sebagai pintu kota ilmunya Rasulullah saw berkata “Nabi Muhammad saw lebih utama dari Nabi Adam as kerana Allah sendiri berselawat ke atas beliau dan menjadikan selawat atas Nabi Muhammad saw sebagai ibadah hamba-hambaNya.” Begitulah betapa tinggi nilai selawat ke atas Nabi saw di sisi Allah swt.
Jadi, apakah yang sebenarnya kita sebutkan di dalam selawat ini? Apakah hanya Rasulullah saw sahaja yang kita ucapkan salam sejahtera? Banyak sekali riwayat yang menyebutkan, pembacaan selawat ke atas Nabi saw mestilah menyertakan keluarganya juga. Tentunya, ada hikmah dan tujuan tertentu ketika Allah menempatkan keluarga Muhammad bergandingan dengan nama Nabi saw dalam bacaan tasyahud. Malah tidak sah solat seseorang sekiranya tidak membaca selawat ke atas nabi dan keluarganya ketika tasyahud kerana membaca selawat adalah termasuk salah satu rukun sembahyang.
Seorang ulama filosof mengungkapkan, dengan membaca selawat seoarang hamba akan sentiasa sedar bahawa dirinya harus berpedoman kepada Nabi saw dan keluarganya serta terus memperbaharui hubungannya dengan mereka. Ertinya, dalam kehidupan kita diharuskan mengikuti mereka yang menjadi contoh hidup kesempurnaan manusia. Dengan begitu, selawat akan menjadi penghubung spiritual antara diri kita dengan Nabi saw dan keluarganya.
Untuk mendapat cinta Allah swt, kita harus menjelmakan cinta kepada nabi Muhammad saw dan keluarganya sampai ke suatu tahap di mana cinta menembus setiap atom dalam diri kita dan mewarnai kehidupan, pemikiran dan aktiviti kita sehari-harian. Marilah kita sentiasa bermuhasabah diri dengan selalu bertanya kepada diri kita, “Apakah kita benar-benar mencintai Nabi Muhammad saw dan keluarganya lebih daripada keluarga kita, harta kita, bisnes kita dan kehidupan material kita? Jika ditanyakan kepada saya saat ini, secara jujurnya saya menjawab, saya masih belum lagi merasai lebihnya cinta saya kepada mereka berbanding cinta saya kepada keluarga saya. Anda mungkin lain jawapannya. Walau bagaimanapun, ayuh bersama kita sentiasa tanamkan dan tingkatkan cinta kita kepada mereka dari hari ke hari.
Dalam hal berselawat ini, kita seharusnya bersyukur kerana Allah swt memberi kita rahmat besar berupa kecintaan kepada Nabi Muhammad saw dan keluarganya. Kita harus menyediakan waktu dalam kehidupan kita sehari-harian dengan tidak sekadar mengucapkan selawat dan salam kepada Nabi saw dan keluarganya, tetapi pada akhirnya mencuba mencontohi dan mengikuti kehidupan dan etiket risalahnya. Sehingga tidak ada kejayaan dan kebahagiaan lain dalam hidup ini di dunia dan akhirat selain mengikuti dan mencintai Rasulullah saw dan keluarganya yang dimuliakan Allah di dalam al Quran. Wallahu ‘alam. SELAWAT!!
*Selawat Allah kepada rasul adalah satu bentuk rahmat. Selawat para malaikat berupa pujian mereka pada Rasulullah saw dan selawat orang-orang mukmin adalah doa mereka bagi nabi Muhammad saw.
jazakallah..nice posting..
[...] Sila baca juga Allah Pun Berselawat. Selamat Menyambut Isra’ [...]